POLIS merampas peralatan perjudian dalam talian susulan penahanan tiga lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Mega Mendung Off, Jalan Klang Lama. FOTO Ihsan PDRM
POLIS merampas peralatan perjudian dalam talian susulan penahanan tiga lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Mega Mendung Off, Jalan Klang Lama. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Masih berani membuka premis khusus untuk pertaruhan judi dalam talian walaupun ketika ibu kota masih dikenakan Perintah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Aktiviti itu dibongkar selepas polis memberkas empat lelaki termasuk tiga warga asing di sebuah premis di Jalan Mega Mendung Off, Jalan Klang Lama, di sini, semalam.

Menerusi operasi bermula jam 3 petang itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bersama pakar judi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur memberkas suspek berusia antara 27 hingga 62 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, berkata siasatan mendapati dua lelaki itu berperanan sebagai penganjur dan penjaga premis, manakala dua lagi adalah pemain judi.

Katanya, turut dirampas enam komputer riba, lapan tablet, beberapa telefon bimbit, kunci dan sejumlah wang tunai bagi membantu siasatan.

"Analisa pakar judi ke atas peralatan itu mendapati wujud aktiviti disyaki mempunyai unsur perjudian dalam talian.

"Semua suspek dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Basri menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti perjudian haram.

Orang awam mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 7:39 PM