YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika menerima sembah maklum mengenai tempoh tamat DUN Sarawak daripada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang dibuat secara maya, hari ini. FOTO Ihsan Pejabat Ketua Menteri
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika menerima sembah maklum mengenai tempoh tamat DUN Sarawak daripada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang dibuat secara maya, hari ini. FOTO Ihsan Pejabat Ketua Menteri
Mohd Roji Kawi

Kuching: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini menitahkan Kerajaan Negeri Sarawak berfungsi seperti biasa dengan kuasa mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Baginda bertitah, langkah itu perlu berikutan keadaan Covid-19 yang masih agak membimbangkan.

Pejabat Ketua Menteri memaklumkan, baginda menyampaikan titah itu ketika Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg menyembah maklum mengenai tempoh tamat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sehingga 6 Jun 2021 dan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), yang diadakan secara maya, hari ini.

"Sejajar dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Ketua Menteri telah menyerahkan keputusan untuk membubarkan DUN Sarawak pada tarikh yang sesuai di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

"Ia selepas menerima nasihat daripada pihak Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Di Raja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia," kata kenyataan daripada Pejabat Ketua Menteri, hari ini.

Turut hadir, tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Duta Khas Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing.

Mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN haruslah dibubar dan pilihanraya perlu diadakan apabila tempohnya tamat pada 6 Jun ini.

Bagaimanapun, berikutan pengisytiharan Darurat pada 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021, kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 5:07 PM