Mohd Roji Kawi


Kuching: Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) boleh diadakan sebelum proklamasi darurat di negeri ini tamat pada 2 Februari tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang, tiada masalah pilihan raya itu diadakan jika mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Justeru katanya, PRN-12 Sarawak boleh diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang, tanpa perlu menunggu Februari depan.

"Perkara ini (PRN-12) akan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas baginda berbincang dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak (Tun Abdul Taib Mahmud).

"Tetapi sebelum itu Yang di-Pertua Negeri perlu berbincang dengan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg) terlebih dulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Mutiara Iman Taman Sepakat Jaya 2, di Demak Laut, di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, dalam Ordinan Darurat Sarawak 2021, dijelaskan bahawa darurat boleh disingkatkan oleh Yang di-Pertuan Agong, jika ada keperluan berbuat demikian.

Menurut Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu, namun fasal berkenaan tidak mempunyai kuasa menurut perenggan 15(1)(a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung pembubaran DUN itu.

Bagaimanapun, Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang dikeluarkan berikutan Proklamasi Darurat Sarawak itu, menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh menamatkan proklamasi itu lebih awal setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Kali terakhir Sarawak mengadakan pilihan negeri ialah pada 7 Mei 2016 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) ketika itu dipimpin Tan Sri Adenan Satem menang besar apabila memperoleh 72 daripada 82 kerusi DUN.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 2:25 PM