Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Kerajaan negeri menyambut baik cadangan mewujudkan Unit Rawatan Rapi Lapangan (Field ICU) di Hospital Kepala Batas (HKB), di sini, yang dikhaskan bagi merawat pesakit kritikal Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya terbuka dengan usaha mana-mana pihak dalam mencari langkah berdasarkan situasi yang berlaku di Pulau Pinang pada ketika ini.

"Keadaan di negeri ini amat serius apabila tahap kapasiti penggunaan ICU di semua hospital Pulau Pinang sudah mencapai 100 peratus.

"Justeru, langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini dilihat begitu baik bagi menangani keadaan di negeri ini sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat pemeriksaan mengejut di Pasar Awam Bagan Ajam, di sini, hari ini.

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan) bersama Datuk Rozali Mohamud (kiri) ketika melakukan pemeriksaan susulan penutupan kompleks makanan dan petak khinzir Pasar Awam Bagan Ajam, Jalan Terbilang di sini. FOTO Danial Saad
JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan) bersama Datuk Rozali Mohamud (kiri) ketika melakukan pemeriksaan susulan penutupan kompleks makanan dan petak khinzir Pasar Awam Bagan Ajam, Jalan Terbilang di sini. FOTO Danial Saad

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan Field ICU di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang bagi merawat pesakit kritikal.

Menurutnya, proses pembinaan Field ICU itu sebagai persediaan bagi menampung kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang yang sudah meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Jagdeep Singh berkata, selain mewujudkan Field ICU, kerajaan negeri juga meminta proses penghantaran bekalan vaksin dapat disegerakan.

"Sehingga semalam, rakyat Pulau Pinang yang sudah mendapatkan dua dos suntikan vaksin adalah seramai 120,965 daripada 681,266 individu yang berdaftar.

"Kerajaan negeri berharap proses vaksinisasi ini dapat disegerakan memandangkan keadaan Covid-19 yang masih mengganas khususnya membabitkan kluster kilang" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 1:32 PM