Zatul Iffah Zolkiply


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun berjumlah RM205,000 sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM54,000 kompaun dikeluarkan membabitkan 46 kes tidak meletakkan tanda harga, 23 kes membabitkan kesalahan menjual melebihi harga maksimum (RM150,000) dan satu kes membabitkan kesalahan gagal meletakkan tanda harga (RM1,000).

Menurutnya, semua yang dikenakan tindakan itu membabitkan 67 premis runcit manakala tiga lagi premis borong di seluruh negara.

Katanya, Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 19 kes diikuti Pahang (16 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 kes), Kedah (10 kes), dua kes di Selangor, Terengganu dan Sarawak, manakala masing-masing satu kes di Perlis serta Kelantan.

ROSOL Wahid (tengah) melakukan tinjauan sempena program Tinjauan Harga dan Bekalan Barang Kawalan semasa Pelaksanaan Terhadap Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2020 di Pasar Payang. FOTO GHAZALI KORI
ROSOL Wahid (tengah) melakukan tinjauan sempena program Tinjauan Harga dan Bekalan Barang Kawalan semasa Pelaksanaan Terhadap Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2020 di Pasar Payang. FOTO GHAZALI KORI

"Kita turut melakukan rampasan bernilai RM12,036.94 dan memeriksa 22,852 premis perniagaan sepanjang pelaksanaan SHMMP sempena Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang berakhir semalam.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 22,296 pemeriksaan dilakukan di kedai runcit manakala 556 lagi pemeriksaan di premis borong," katanya selepas melakukan lawatan di Pasar Payang 2, Kuala Terengganu, hari ini.

Rosol berkata, kebanyakan kes yang dikenakan tindakan membabitkan kesalahan menjual barangan kawalan seperti ayam, telur dan sayur-sayuran melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

"Kita dapati jumlah kes kesalahan yang direkodkan adalah kecil. Ini menunjukkan peniaga semakin bertanggungjawab dan mengambil inisiatif yang berhemah dalam menjalankan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 3:12 PM