ABDUL Rozak (kiri) memeriksa 'water barricade' (halangan air) ketika meninjau lokasi lorong tikus di Kampung Pachakan, Kuala Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
ABDUL Rozak (kiri) memeriksa 'water barricade' (halangan air) ketika meninjau lokasi lorong tikus di Kampung Pachakan, Kuala Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: Tindakan merampas surat rentas negeri tiada tarikh luput dan arahan perlu berpatah balik dilakukan terhadap individu yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri Terengganu dan Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil pemeriksaan di SJR Pachakan sejak 12 tengah hari, hari ini, pihaknya mendapati ada pemandu menggunakan surat kebenaran terlalu lama dan ada surat tidak mempunyai tarikh luput.

"Kami terpaksa merampas surat itu kerana tidak bertepatan dengan kehendak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dalam tempoh satu jam di sini, sebanyak tujuh kenderaan diarahkan berpatah balik kerana tidak mematuhi syarat rentas sempadan.

"Jumlah kenderaan melalui SJR ini turut meningkat dan aliran trafik bergerak perlahan walaupun bukan laluan utama sempadan berikutan PKP akan dikuatkuasa di Besut bermula 12 tengah malam ini," katanya kepada media ketika meninjau SJR di Pachakan di sini, hari ini.

Rozak berkata, sebanyak enam kompaun dikeluarkan dalam tempoh seminggu bulan ini atas kesalahan rentas negeri dengan sengaja.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding 10 kompaun dikeluarkan sepanjang April lalu.

"Tiga SJR dilaksanakan di Besut iaitu di Pachakan, Tok Saboh dan Gong Manok dikekalkan dan tiada keperluan untuk ditambah buat masa sekarang.

"Orang ramai disarankan tidak menyalah gunakan surat kebenaran rentas negeri untuk tujuan lain, contohnya apabila sekolah ditutup dan diharap tidak ada yang ambil kesempatan guna surat kebenaran sekolah untuk urusan tidak sepatutnya.

"Bagi mereka yang ingin melakukan rentas negeri atau sempadan perlu memperbaharui surat setiap kali mahu melakukan tujuan itu bagi memastikan urusan mereka berjalan lancar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 6:01 PM