Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Cubaan 15 kenderaan masuk dan keluar Kelantan tanpa sebab kukuh atau surat kebenaran akhirnya berputih mata apabila diarahkan berpatah balik.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri ketika sekatan jalan raya (SJR) di Balai Polis Bukit Tong di sini, hari ini.

Menurutnya, semua kenderaan itu tidak mempunyai surat kebenaran dan sekadar mahu keluar atau masuk ke Kelantan.

"Hampir 1,000 kenderaan direkodkan memasuki Kelantan sejak jam 12 tengah malam tadi.

"Aliran trafik kemasukan kenderaan dilihat sedikit meningkat selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke atas semua negeri kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis dibuat," katanya.

Sementara itu, Mohd Azmir berkata, tujuh individu menjalani ujian calitan ketika merentasi SJR hari ini.

MOHD Azmir (kiri) bersama pegawainya membuat pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Bukit Yong di sempadan Kelantan dan Terengganu pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Azmir (kiri) bersama pegawainya membuat pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Bukit Yong di sempadan Kelantan dan Terengganu pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Tujuh individu yang menjalani saringan Covid-19 itu datang daripada kawasan zon merah dari negeri Pantai Barat seperti Selangor, Johor dan Negeri Sembilan.

"Individu berkenaan turut dipakaikan gelang hijau oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menandakan mereka mempunyai surat kebenaran untuk merentas negeri bagi tujuan bekerja.

"Ujian ini diutamakan kepada pengguna jalan raya daripada zon merah namun ada juga kita buat secara rambang berdasarkan surat kebenaran mereka, mana yang kita lihat berkeperluan, kita sarankan mereka buat ujian," katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya turut menitik beratkan kemasukan bas khususnya bas ekspres ke negeri ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Kita akan mengambil langkah yang perlu termasuk jalankan ujian calitan terhadap penumpang bas jika perlu, daripada segi penugasan pula kita tidak mempunyai masalah kerana sebelum ini kita pernah membuat operasi sebegini," katanya.

Tambahnya, selain Bukit Yong, polis turut membuat SJR di Kampung Pachakan, Semerak yang bersempadan dengan Kuala Besut, Terengganu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 6:37 PM