ABDUL Rozak Muhammad (kanan) memeriksa surat kebenaran rentas negeri Terengganu-Kelantan di SJR di Pachakan di sini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
ABDUL Rozak Muhammad (kanan) memeriksa surat kebenaran rentas negeri Terengganu-Kelantan di SJR di Pachakan di sini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Polis terpaksa mengambil langkah lebih tegas dengan meletakkan halangan simen dengan bantuan Jabatan Kerja Raya setelah beberapa lorong tikus di sempadan negeri Terengganu dan Kelantan masih diceroboh individu tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, penggunaan halangan bersimen berwarna kuning hitam yang biasa diletakkan di bahu jalan itu adalah pilihan terakhir jika kejadian rentas sempadan tanpa kebenaran tetap berlaku.

Katanya, kebiasaannya setiap lorong tikus akan diletakkan halangan menggunakan 'water barricade' ( halangan air) dan kawat duri.

"Tetapi ada beberapa sekatan di lorong tikus dirosakkan individu dengan melakukan perbuatan khianat merosakkan sekatan yang diletakkan," katanya kepada media ketika meninjau lokasi lorong tikus di Kampung Pachakan, Kuala Besut, di sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata, pada peringkat awal hanya 15 lorong tikus sahaja yang ada bagi menghubungkan penduduk di dua negeri ini.

"Tetapi bilangannya bertambah sehingga 26 lorong tikus baharu sebaik sahaja tindakan menutup lorong tikus dilaksanakan.

"Kita akan menutup semua lorong tikus yang boleh dilalui kenderaan terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Besut serta musim perayaan Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata, rondaan di setiap lorong tikus dilakukan secara berkala bagi mengelakkan wujudnya laluan baharu di kawasan yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 6:18 PM