Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Pilu hati seorang abang apabila melihat adik perempuannya yang berusia tiga tahun terjatuh ke dalam parit ketika bermain dengan kanak-kanak lain pada waktu hujan di belakang rumah mereka di Felda Gunung Bongsu, di sini, semalam.

Abang mangsa, Muhammad Thaqif Muhammad Nazri, 8, gagal menyelamatkan adiknya, Naera Dellisha, 3, lalu bergegas pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada bapa mereka, Muhamad Nazri Abu Saman, 36.

Ketika kejadian jam 7 malam itu, keluarga mangsa sedang sibuk untuk berbuka puasa namun menerima berita sedih itu lalu bergegas ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku sebelum mendapati mangsa sudah dihanyutkan arus deras.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, bapa mangsa dan beberapa ahli keluarga terus mencari mangsa di kawasan itu namun tidak jumpa sebelum memaklumkan kepada polis pada jam 7.30 malam.

Beliau berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam parit sedalam hampir satu meter berhampiran rumah dan terus dibawa air ke longkang besar sebelum dihanyut ke sungai Dingin, Mahang.

Katanya, gerakan mencari dilakukan bomba dan mangsa ditemui kira-kira tiga meter di sungai dalam kawasan Estet Sungai Dingin (Sime Darby) pada jam 8.40 malam oleh orang awam.

"Operasi disertai sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech dan lima anggota polis dari Balai Polis Mahang dengan pencarian di permukaan air.

"Kejadian itu disaksikan oleh abang mangsa yang ternampak adiknya terjatuh ke dalam parit yang ketika itu hujan renyai dan air deras," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, mayat dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut masih terus dijalankan.

Berita berkaitan

Kanak-kanak 3 tahun lemas tergelincir dalam longkang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 11:46 AM