ANGGOTA polis membuat rondaan tinjauan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan penyakit Covid-19 di Bazar Aidilfitri dan Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO AIZUDDIN SAAD
ANGGOTA polis membuat rondaan tinjauan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan penyakit Covid-19 di Bazar Aidilfitri dan Jalan Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@bh.com.my


Kuala Lumpur: Sebanyak lapan negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan (R0) Covid-19 mengikut kes harian, melebihi purata kebangsaan, semalam.

Data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook, semalam, menunjukkan R0 kebangsaan pada 1.14, iaitu peningkatan berbanding 1.12 kelmarin.

Bagaimanapun, data itu menunjukkan bilangan negeri yang melebihi purata kebangsaan itu meningkat kepada lapan berbanding hanya tujuh negeri, kelmarin.

Kedah mencatatkan kadar R0 tertinggi semalam dengan 1.28, disusuli Kelantan (1.23), Negeri Sembilan (1.23), Selangor (1.20), Perlis (1.19), Kuala Lumpur (1.16), Perak (1.15) dan Pahang (1.15).

Melaka pula mencatat kadar sama dengan purata kebangsaan iaitu 1.14, manakala dua negeri dan wilayah merekodkan R0 terendah semalam, iaitu Labuan (0.93) dan Sabah (0.94).

Nilai R0 merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19 iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai R0 adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Selain itu, data dikongsi Dr Noor Hisham menunjukkan trend kes harian ketika ini kekal berada pada situasi membimbangkan selaras jumlah kes harian yang melebihi 3,000 sejak tiga hari berturut-turut.

Data itu menunjukkan trend peningkatan penularan Covid-19 ketika ini berlaku lebih pantas berbanding jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang mengunjurkan kes harian berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang hujung bulan depan jika R0 meningkat kepada 1.2.

Jumlah kes harian kembali melebihi 2,000 pada 15 April lalu, sebelum melonjak mencecah lebih 3,000 pada Rabu lalu dengan 3,142 kes, sebelum mencatat 3,788 kes, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 10:59 AM