GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Peningkatan kes harian Covid-19 sejak pertengahan bulan lalu menyaksikan hampir 60 peratus daripada 159 daerah di seluruh negara bertukar status kepada zon merah, setakat semalam.

Data pergerakan 14 hari taburan kes Covid-19 antara 21 April hingga semalam yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Facebook, hari ini, menunjukkan 93 daerah kini berstatus zon merah.

Daripada jumlah itu, lebih 65 peratus atau 61 daerah zon merah di Semenanjung.

Data dikongsikan KKM menunjukkan semua daerah di lima negeri dan wilayah iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Putrajaya bertukar kepada zon merah sepenuhnya.

Di samping itu, hanya 12 daerah sahaja masih kekal sebagai zon hijau setakat semalam, iaitu lima di Semenanjung dan tujuh di Sabah.

Selain itu, jumlah kes aktif dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh 14 hari lalu turut mencatatkan peningkatan lebih 53 peratus, daripada 25,804 pada 21 April kepada 39,490 semalam.

Selangor mencatatkan jumlah kes aktif tertinggi dalam tempoh berkenaan iaitu 11,420 kes, manakala Sarawak merekodkan 7,420 kes dan Kelantan (6,093 kes).

Daerah Petaling di Selangor mencatatkan jumlah kes aktif tertinggi dalam tempoh 14 hari iaitu 4,463, selain Hulu Langat, Selangor (2,596) serta Kota Bharu, Kelantan (2,558).

Selain itu, lapan daerah lain di lima negeri merekodkan lebih 1,000 kes dalam tempoh sama, iaitu Klang (1,521) dan Gombak (1,091 di Selangor; Pasir Mas (1,241) di Kelantan; Kepong (1,361) dan Lembah Pantai (1,055) di Kuala Lumpur; Johor Bahru (1,344) di Johor; serta Bintulu (1,328) dan Sibu (1,053) di Sarawak.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 17 Mei depan.

Sebelum ini, PKP turut dilaksanakan di seluruh Kelantan sejak 22 April lalu hingga 17 Mei depan, selain perintah itu turut dilaksanakan di lima daerah di Kedah iaitu iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim bermula 1 Mei hingga 14 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 3:00 PM