TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Situasi penularan Covid-19 di Malaysia terus merosot apabila kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 mengikut kes harian kekal pada trend peningkatan kepada 1.19 semalam.

Ia adalah nilai Rt tertinggi yang pernah direkodkan tahun ini berbanding 1.17 yang dicatatkan pada 16 Januari lalu.

Menurut data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook awal pagi tadi, trend peningkatan kadar Rt itu berterusan sejak pertengahan bulan lalu yang ketika itu hanya sekitar 0.81, sebelum meningkat melebihi 1.0 pada awal bulan ini, dan kini menghampiri 1.2.

Ia selaras peningkatan kes harian Covid-19 yang kini kembali mencecah lebih 2,000 sejak Khamis lalu, walaupun kes baharu pernah merekodkan penurunan sehingga tiga angka pada 29 Mac lalu.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Data dikongsi Dr Noor Hisham juga menunjukkan lonjakan itu berlaku lebih pantas berbanding jangkaan Kementerian Kesihatan (KKM), yang mengunjurkan kes harian melonjak kepada lebih 2,000 pada pertengahan Mei sekiranya Rt mencecah 1.2.

Selain itu, data berkenaan juga menunjukkan enam negeri mencatat kadar Rt lebih tinggi daripada purata kebangsaan semalam, dengan Kelantan merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.32.

Ia disusuli Kuala Lumpur (1.27), Sarawak (1.23), Terengganu (1.21), Sabah (1.21) dan Negeri Sembilan (1.20).

Jumlah kes mingguan Covid-19 juga melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh enam minggu apabila mencatatkan 13,726 kes minggu ini.

Kali terakhir jumlah kes mingguan merekodkan kadar seumpamanya adalah pada awal bulan lalu, dengan 13,462 kes pada minggu kesembilan tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 11:54 AM