Foto hiasan
Foto hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Sekolah Menengah (SM) Imtiaz di Saujana, Setiu ditutup selama 14 hari selepas seorang guru dan 11 pelajar sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, penutupan selama 14 hari bermula 28 April lalu hingga 11 Mei ini dibuat bagi membolehkan kerja pembasmian kuman dan saringan kontrak rapat dilakukan.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) turut melakukan saringan bersasar di sekolah berkenaan untuk mengesan kes positif Covid-19 lain di sana.

"Saringan dibuat untuk mengesan kes positif di sekolah ini, mereka akan diasingkan dan diberi rawatan supaya rantaian boleh diputuskan lebih cepat," katanya dalam dalam hantaran di Facebook semalam.

Dr Nor Azimi berkata, tidak dinafikan jangkitan Covid-19 di sekolah atau institusi pendidikan datang daripada komuniti sama ada pelajar, guru atau kakitangan sokongan di sana.

Beliau berkata, secara amnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah khususnya sekolah rendah agak sukar berikutan murid-murid yang masih kecil pergaulannya tidak terbatas.

Menurutnya, situasi sama turut berlaku di asrama sekolah terutamanya yang mempunyai jumlah pelajar ramai dan sesak.

"Pelajar sangat akrab di asrama. Makan sepinggan, tidur sekatil itu biasa. Seketul ayam dikongsi ramai pelajar pun biasa, tambahan pula pada bulan puasa ini," katanya.

Bagaimanapun, Dr Nor Azimi berkata, sekolah dan institusi pendidikan boleh mengamalkan beberapa langkah bagi mencegah jangkitan atau penularan lebih besar di tempat masing-masing.

Menurutnya, langkah paling utama perlu diamalkan adalah memastikan guru, pelajar dan kakitangan sokongan yang bergejala atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 tidak hadir ke sekolah.

"Pastikan ada pematuhan SOP bila ada program libatkan ramai pelajar dan semua pakai pelitup muka serta penjarakan fizikal sepanjang program.

"Sepatutnya semua warga sekolah kena pakai pelitup muka sepanjang berada di sekolah, ini kan normal baharu.

"Jika guru tidak selesa pakai pelitup muka ketika mengajar, boleh pakai face shield. Ia boleh mengelak titisan air liur terkena pelajar atau permukaan dalam kelas. Kita faham guru kena bersuara kuat supaya pelajar boleh dengar.

"Guru kena jaga jarak dengan pelajar. Ada guru menjangkiti pelajar masa kelas tasmik, bukan seorang. Lagipun guru bukan mengajar satu kelas, ada yang pegang enam kelas. Ini juga faktor penularan boleh berlaku dengan cepat kepada beberapa kelas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 3:46 PM