Zatul Iffah Zolkiply


SERAMAI 14,915 murid prasekolah kerajaan dan swasta di Terengganu mula mengikuti sesi pembelajaran, hari ini selepas lebih tiga bulan ditutup akibat penularan Covid-19.

Ia membabitkan seramai 10,915 murid prasekolah kerajaan dan 4,000 murid swasta.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani berkata, ia membabitkan 316 buah sekolah kerajaan dan 119 tadika swasta di seluruh Terengganu.

"Hasil tinjauan di dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Kapas dan SK Gong Tok Nasek mendapati persediaan rapi sudah dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Tinjauan Harian Mertro di SK Serada, Tabika Perpaduan Tok Kaya 2 dan Pra An Nasuha SK Kubang Ikan, Kuala Terengganu mendapati kesemua murid mengikut SOP ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka.

Malah, pihak sekolah turut membuat pemeriksaan suhu badan selain penjarakan sosial.

Pekerja swasta, Rubiah Omar, 38, berkata dia berpuas hati dengan pematuhan SOP kerana segala persiapan kembali ke sekolah dilakukan sebaiknya.

Katanya, sebelum menghantar anaknya, Muhammad Zulfadhli Firdaus Ahmad Zamri, 6, pihak prasekolah sudah memberi taklimat beberapa hari sebelum pembukaan secara rasmi, hari ini.

"Selain meminta ibu bapa menyediakan keperluan asas anak-anak seperti tuala dan sebagainya, saya melihat perjalanan sesi persekolahan juga sangat baik.

"Selain pemeriksaan suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum masuk ke kelas, mereka juga dijarakkan dalam kelas," katanya.

Guru Besar SK Serada, Mohamad Sulaiman berkata, pihaknya mengikuti SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi keselamatan murid walaupun berada di kawasan pendalaman.

"Terdapat 190 murid di sekolah ini termasuk 25 murid prasekolah dan kita minta mereka sentiasa pakai pelitup muka walaupun berada di dalam kelas," katanya.

SUASANA hari pertama sesi persekolahan murid prasekolah di SK Serada sambil memakai pelitup muka pada hari pertama sesi persekolahan. FOTO Ghazali Kori
SUASANA hari pertama sesi persekolahan murid prasekolah di SK Serada sambil memakai pelitup muka pada hari pertama sesi persekolahan. FOTO Ghazali Kori

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:21 PM