Nurul Hidayah Bahaudin


Bangi: "Saya rindu mahu jumpa dan bercakap dengan ibu. Sudah lima tahun saya tidak bertemu dengannya sejak tinggal di sini," kata Mohamad Nor Hakime Hamzah, 16, penghuni Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah, di sini.

Nor Hakime berkata, dia mula tinggal di pusat jagaan berkenaan sejak 2017 selepas dihantar abangnya.

"Sebelum ini, saya tinggal bersama ibu serta kakak dan abang ipar selepas kematian bapa ketika berusia lapan tahun. Selepas itu, saya berpindah ke rumah abang sebelum dia menghantar saya ke pusat jagaan ini.

"Sepanjang tempoh lima tahun saya di sini, saya tidak bertemu ibu," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, dia suka tinggal di pusat jagaan itu kerana boleh bersama rakan-rakan bagi menghilangkan rasa rindu dengan ahli keluarga.

"Mula-mula saya tidak suka apabila dihantar ke sini, namun lama-kelamaan, saya mula memahami keadaan di sini dan menyukai persekitarannya bersama rakan-rakan.

"Namun, ada kalanya saya rindu untuk bersama ahli keluarga terutama ibu yang sudah lama tidak bertemu apatah lagi menjelang Aidilfitri nanti," katanya yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik.

Sementara itu, seorang lagi penghuni di pusat jagaan berkenaan, Nurul Asyella Zulhairi, 18, berkata, dia paling rindu dengan ahli keluarga setiap kali teringat detik berkumpul bersama mereka pada Aidilfitri.

"Saya mula tinggal di pusat jagaan ini selepas disarankan oleh seorang ustazah yang mengajar saya mengaji di Kuala Terengganu, pada 2017 atas masalah keluarga.

"Sepanjang menetap di sini, ibu bapa ada menjenguk saya dua kali setahun selain pulang ke kampung dengan menaiki bas setiap kali Aidilfitri.

"Namun, saya akur apabila tahun ini seperti tahun sebelumnya kita tidak boleh balik ke kampung kerana penularan Covid-19," katanya.

Nurul Asyella yang juga anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia bersyukur kerana ada pihak luar yang mengingati mereka (penghuni Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah) dengan menghulurkan sumbangan.

"Saya gembira apabila ada yang prihatin apabila memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada kami pada bulan Ramadan ini," katanya.

Kedua-dua penghuni itu adalah antara 33 penghuni di pusat jagaan berkenaan yang menerima sumbangan termasuk duit raya menerusi Program Musaadah Ramadan anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM).

ARIFIN (dua dari kanan), menyampaikan sumbangan kepada anak yatim. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ARIFIN (dua dari kanan), menyampaikan sumbangan kepada anak yatim. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UPM Prof Dr Arifin Abdu berkata, pihaknya menyalurkan sumbangan berbentuk makanan, pakaian, peralatan persekolahan serta barangan persediaan sambutan Aidilfitri kepada penghuni pusat jagaan itu.

"Sumbangan berkenaan diperoleh hasil derma serta kutipan amal dalam kalangan kakitangan dan alumni UPM yang prihatin dengan nasib penghuni pusat jagaan ini," katanya.

Turut hadir dalam program itu Pengarah Perhubungan Alumni UPM Prof Madya Dr Arba'ie Sujud serta Pengerusi Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim dan Miskin Rukaiyah Dr Abdul Rahman Kurais.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 3:48 PM