Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Media Prima Omnia menyantuni lapan rumah kebajikan dan pusat jagaan terpilih di seluruh Malaysia menerusi program Jom Heboh di Rumah (JHDR) dengan kolaborasi Beras Era.

Antaranya Pusat Jagaan Permata Kasih, Pulau Pinang, Pertubuhan Baitul Muhabbah, Negeri Sembilan, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Al Nasuha, Pusat Jagaan Anak Yatim, House of Love Klang, Pusat Pendidikan Limpahan Kasih, Rumah Kasih Nurul Hasanah dan Pusat Jagaan Sri Mesra - Mesra Home Ampang, Selangor.

Inisiatif berkenaan turut memanfaatkan sehingga hampir 400 individu dari keseluruhan lapan buah rumah kebajikan dan pusat penjagaan berkenaan.

Pengurus Besar Activation, Eileen Lim berkata, inisiatif itu sejajar dengan objektif Jom Heboh yang mengetengahkan hubungan kekeluargaan.

"Justeru, kami mengambil peluang ini membantu mereka yang kurang bernasib baik.

"Selain menyalurkan bantuan berupa beras, kami turut memberikan peralatan sekolah seperti alat tulis kepada kanak-kanak yang tinggal di Rumah Kasih Nurul Hasanah.

"Pihak kami akan terus prihatin dan menjalankan inisiatif seperti ini lagi pada masa akan datang kepada mereka yang memerlukan," katanya, ketika ditemui, hari ini.

Bagi pemberian beras di Rumah Kasih Nurul Hasanah ini, sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia Datuk Michael Chan.

Dalam pada itu, keceriaan jelas terpancar pada wajah anak-anak menghuni Rumah Kasih Nurul Hasanah selepas menerima sumbangan dan bantuan peralatan sekolah yang diberikan oleh Media Prima Omnia.

Penjaga Rumah Kasih Nurul Hasanah, Muhd Aliif Kamaluddin menzahirkan terima kasih atas sumbangan Media Prima Omnia dengan kolaborasi Beras Era.

"Di sini kami mempunyai seramai 25 pelajar yang menghuni Rumah Kasih Nurul Hasanah yang terdiri daripada tujuh lelaki dan 18 pelajar perempuan.

"Alhamdulillah, kami bersyukur dan sangat berterima kasih kepada pihak Media Prima Omnia atas sumbangan yang diberikan kepada kami," katanya.

Michael Chan (kiri) menyerahkan beras kepada Muhammad Aliif Kamaludin (kanan). FOTO ASYRAF HAMZAH
Michael Chan (kiri) menyerahkan beras kepada Muhammad Aliif Kamaludin (kanan). FOTO ASYRAF HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 7:41 PM