SULTAN Perak berkenan berangkat tiba pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak. FOTO Bernama
SULTAN Perak berkenan berangkat tiba pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak. FOTO Bernama
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke majlis berbuka puasa bersempena Sambutan Hari Nuzul Quran peringkat negeri di Masjid Negeri, Masjid Sultan Idris Shah II, di sini, malam ini.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan bantuan Aidilfitri daripada dana zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM7.82 juta kepada penghulu membabitkan kesemua 12 daerah di Perak untuk diserahkan kepada 31,296 penerima yang layak.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Terdahulu, keberangkatan Sultan Nazrin pada jam 7 petang disambut Ahli Dewan Negara Perak yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, Exco kerajaan negeri Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Turut hadir mengiringi, barisan Exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Mohd Yusop Husin serta ketua jabatan.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, disusuli bacaan tahlil, doa, solat Maghrib berjemaah, dan jamuan berbuka puasa bersama kira-kira 300 hadirin jemputan.

Selesai majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan, Sultan Nazrin berangkat pulang, sebelum majlis diteruskan dengan solat Isyak dan solat Tarawih secara berjemaah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 10:09 PM