SULTAN Nazrin Shah berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada wakil Daerah Kinta. FOTO L. Manimaran
SULTAN Nazrin Shah berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri kepada wakil Daerah Kinta. FOTO L. Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menyerahkan bantuan Hari Raya Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi tahun 1445H/2024M sempena sambutan Nuzul al-Quran peringkat negeri berjumlah RM11.77 juta.

Pada majlis yang diadakan di perkarangan Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di Jalan Raja Musa Mahadi itu, dana zakat berjumlah RM11,772,300 diserahkan kepada penghulu mukim dari 12 daerah di Perak mewakili 39,241 orang penerima yang terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh negeri.

Pegawai yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari dalam kenyataan berkata, penerima bantuan dipilih daripada senarai asnaf fakir dan miskin yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Diri Jumaat di Perak.

Selain itu, katanya, semua penerima bantuan kewangan bulanan dan hemodialisis terdiri daripada asnaf fakir dan miskin turut menerima bantuan di bawah dana zakat MAIPk.

Berangkat sama pada majlis itu Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; dan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Daerah Kinta mencatatkan jumlah penerimaan tertinggi iaitu RM2.93 juta yang memanfaatkan 9,762 penerima; disusuli daerah Larut, Matang & Selama (RM1.9 juta, 6,326 penerima); dan Perak Tengah (RM1.08 juta, 3,600 penerima).

Terdahulu, majlis yang bermula seawal 6.20 petang disertai lebih 1,000 hadirin itu dimulai dengan aktiviti bacaan ayat suci al-Quran serta tadabbur, diikuti bacaan tahlil serta doa selamat, majlis berbuka puasa, dan solat Maghrib berjemaah yang turut disertai Sultan Nazrin bersama dif-dif kenamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 10:31 PM