BERNAMA

Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Negeri Perak Darul Ridzuan 2022 di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, malam tadi.

Turut berangkat, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Yusop Husin serta barisan Exco kerajaan negeri.

Majlis sambutan sebelum itu dimulakan dengan tazkirah, bacaan ayat suci al-Quran, tahlil dan doa selamat diikuti bacaan doa berbuka puasa yang dihadiri lebih 300 jemaah sebelum seterusnya menunaikan solat maghrib berjemaah.

SULTAN Nazrin berkenaan menyampaikan replika cek kepada wakil daerah Kinta, Mohd Sani Kamaruddin pada majlis penyampaian Bantuan Zakat (Bantuan Hari Raya Aidilfitri) Asnaf Fakir dan Miskin MAIPk di Masjid Sultan Azlan Shah. FOTO L MANIMARAN
SULTAN Nazrin berkenaan menyampaikan replika cek kepada wakil daerah Kinta, Mohd Sani Kamaruddin pada majlis penyampaian Bantuan Zakat (Bantuan Hari Raya Aidilfitri) Asnaf Fakir dan Miskin MAIPk di Masjid Sultan Azlan Shah. FOTO L MANIMARAN

Sultan Nazrin kemudian tiba selepas itu dan berkenan menyampaikan bantuan hari raya daripada dana zakat MAIPk berjumlah RM8.3 juta kepada penghulu-penghulu daerah di seluruh Perak untuk diagihkan kepada 33,342 penerima asnaf, fakir dan miskin di seluruh Perak.

Selain itu, baginda turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan anggota MAIPk yang baharu kepada Toh Maharaja Indera Dr Khairil Anuar Arshad dan Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak Mohamed Shah Redza Hussein.

Sultan Nazrin kemudian menunaikan solat isyak berjemaah dan tarawih sebelum berangkat pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 10:35 PM