Foto hiasan
Foto hiasan
Balqis Jazimah Zahari

SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perkenan penambahan bilangan jemaah untuk melaksanakan solat jumaat dan solat fardu berjemaah di negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari berkata, titah dizahirkan selepas baginda menimbangkan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Mulai hari Jumaat ini, bilangan jemaah yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat di masjid dan surau ialah berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter antara ahli jemaah.

"Kehadiran menunaikan solat Jumaat pada masa ini hanya dibenarkan kepada warga Malaysia dan identiti jemaah yang datang untuk solat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat," katanya melalui satu kenyataannya di Ipoh hari ini.

Shahrul Azam berkata, mulai solat subuh, ahli jemaah yang dibenarkan mendirikan solat berjemaah pada setiap solat fardu di masjid, surau diri Jumaat dan surau juga perlu mengikut SOP sama yang sudah ditetapkan seperti solat Jumaat.

Katanya, selain itu kaedah dan cara jemaah masuk dan keluar dari ruang utama dewan solat di masjid, surau diri Jumaat dan surau hendaklah di asingkan di antara pintu masuk dan pintu keluar.

"Azan yang dilaungkan oleh bilal hendaklah kembali kepada kaedah asal.

"Ahli jawatakuasa kariah atau pegawai masjid hendaklah memberikan peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu dimulakan," katanya.

Beliau berkata, penggunaan masjid, surau diri Jumaat dan surau untuk pelaksanaan solat Jumaat dan berjemaah pada setiap kali solat fardu hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh MKN dan KKM.

"Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah terkini penambahan bilangan jemaah untuk pelaksanaan Solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu.

"Garis panduan itu akan diberi kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau di negeri ini dan selanjutnya menyelia dan memastikan garis panduan tersebut dipatuhi," katanya.

Menurutnya, arahan dan ketetapan itu hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga arahan baharu daripada MAIPk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 2:41 PM