Ahmad Zahid  dan Mohd Yunus (kanan)  pada Simposium Kepulihan Nasional 2016 anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), semalam.
Ahmad Zahid dan Mohd Yunus (kanan) pada Simposium Kepulihan Nasional 2016 anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), semalam.
Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: “Dana RM2 juta ini wang rakyat, wang pembayar cukai, jadi saya mahu lihat hasil daripada MASAC (Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia),” tegas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri kecewa berikutan banyak badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dadah dalam negara ini, tetapi bilangan penagih dan kes penyalahgunaan dadah terus meningkat.

Katanya, NGO terbabit mesti mengutamakan keberhasilan setiap program dilaksanakan dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah.

“Kita harus melihat bukan hanya dari segi hasilnya, berapa banyak persatuan ada, berapa banyak aktiviti ada, berapa banyak wang diberikan.

“Tetapi kita kena lihat apakah hasilnya. Apakah keberhasilannya daripada dana diberikan kerajaan, selain dibuat NGO dan pusat pemulihan daripada kerajaan,” katanya ketika melancarkan MASAC, di sini, semalam.

Turut hadir Presiden MASAC Datuk Mohd Yunus Pathi yang juga Presiden Persatuan Pengasih Malaysia.

MASAC gabungan lebih 60 NGO dan pusat pemulihan persendirian yang menjalankan program serta aktiviti berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang itu termasuk menyediakan rawatan dan pemulihan dadah.

Ahmad Zahid berkata, sudah tiba masanya semua pihak termasuk NGO semua bangsa bersatu membanteras gejala berkenaan melalui pendekatan kreatif dan pelbagai.

“Mulai hari ini, kita tutup buku lama. Kita buka buku baharu.

“Saya isytiharkan di Sarawak Tahun Membanteras Dadah, jangan biarkan saya keseorangan kerana saya yakin saya tidak keseorangan. Saya yakin saudara-saudari boleh melakukan yang terbaik,” katanya

Beliau berkata, seluruh rakyat aset negara yang mesti dijaga sebaik mungkin.

“Kalau aset jadi pesakit ia bertukar liabiliti. Jadi beban kepada masyarakat, ibu bapa dan institusi sosial dan kepada negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 6:41 AM