GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sembilan rumah panjang di Sarawak dan satu asrama pekerja di Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Sabtu ini (19 Jun)..

Rumah Panjang Sungai Rassau, Batang Igan, Matu di Mukah itu masing-masing membabitkan Rumah Panjang Salim anak Unang; Rumah Panjang Judy anak Kudi; Rumah Panjang Mathew anak Merang; Rumah Panjang Danggang anak Ujang; Rumah Panjang Lait anak Ijang; Rumah Panjang Chandi anak Kilau; Rumah Panjang Putut anak Jugah; Rumah Panjang Sadin anak Jeli dan Rumah Panjang Mador anak Rendah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, asrama pekerja di Johor pula membabitkan Asrama Pekerja Warga Asing dan Kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Rainbow Metal Sdn Bhd di Buloh Kasap, Segamat.

Katanya, perintah itu dikenakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan situasi terkini Covid-19 di kawasan terbabit yang mana 48 kes positif Covid-19 dikesan selepas saringan ke atas 84 penghuni rumah panjang dan berlaku kadar positiviti 57.14 peratus.

"Sementara bagi asrama pekerja, KKM mendapati berlaku peningkatan dalam tempoh seminggu, apabila 52 kes positif Covid-19 dikesan selepas 488 individu disaring, dengan kadar positiviti 10.7 peratus.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di semua rumah panjang terbabit dan asrama pekerja berkenaan berkuat kuasa 19 Jun sehingga 2 Julai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PKPD Kawasan Semarak, Tawau, Sabah dan Kampung Pengaraban, Kudat, Sabah yang dijadualkan tamat pada 18 Jun, dilanjutkan sehingga 2 Julai.

Katanya, PKPD di dua lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kampung Tanjung Aru Baru dan Rumah Murah Kepayan pula ditamatkan hari ini selepas berlaku penurunan kes serta kluster dapat dikawal.

"Perintah sama yang dikenakan di Besut dan tamat pada 18 Jun juga tidak dilanjutkan, begitu juga di Taman Milenium, Taman Wawasan dan Kampung Jawa Kongsi 10 di Tawau, Sabah, serta Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Buruk, Dalat, Mukah di Sarawak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 6:49 PM