Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-13 berkuatkuasa 4 Mei ini.

Pelantikan berkenaan diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ketua Polis Negara ke-13 di Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Hamzah berkata, sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP), ingin dimaklumkan semua bersetuju Acryl diangkat sebagai KPN yang baharu termasuk Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, selepas itu, beliau menghantar surat kepada Perdana Menteri di mana turut bersetuju dengan pelantikan itu sebelum surat dihantar kepadaYang di-Pertuan Agong bagi diperkenan.

"Alhamdulillah Yang di-Pertuan Agong juga berkenan menerima pelantikan KPN baru... saya ucapkan tahniah dan syabas.

"Tan Sri Abdul Hamid Bador selama menjadi KPN melebihi dua tahun sudah melakukan tugasnya dengan baik dan umurnya juga sudah mencapai 63 tahun... jadi sebab itu kita mencari orang baru bagi memastikan segala apa dilakukan dan kebaikan dilakukan beliau (Abdul Hamid) dan semua KPN sebelum ini dapat diteruskan," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ketua Polis Negara ke-13 di Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dianggap rakyat sebagai pasukan yang baik sekali cuma hairan akhir-akhir ini ada perkara tidak disenangi dikeluarkan oleh pelbagai kumpulan ada dalam negara ini.

"Saya mohon kepada semua mereka yang bermain dengan media sosial tidak menimbulkan perasaan yang boleh menyebabkan tidak senangnya rakyat kepada PDRM.

"Namun dengan adanya KPN baru ini, saya yakin beliau dapat membantu rakyat hidup dalam selamat, aman dan sejahtera," katanya.

Tambahnya, proses pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara akan dilakukan sama seperti pelantikan KPN.

ACRYL Sani Abdullah Sani. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ACRYL Sani Abdullah Sani. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 12:08 PM