ALEXANDER Nanta Linggi (dua kiri) melakukan lawatan pelaksanaan hari pertama SHMMP Hari Raya Aidilfitri di pasar raya Econsave, Kajang. FOTO Rosyahaida Abdullah
ALEXANDER Nanta Linggi (dua kiri) melakukan lawatan pelaksanaan hari pertama SHMMP Hari Raya Aidilfitri di pasar raya Econsave, Kajang. FOTO Rosyahaida Abdullah
Rosyahaida Abdullah

PENIAGA di pasar basah di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur menjadi penjual pertama dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana menjual ayam pada harga RM9 sekilogram.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, peniaga terbabit didapati menjual ayam standard pada harga runcit RM9 sekilogram berbanding RM7.50 ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa.

"Secara keseluruhan, sebanyak 2,437 premis diperiksa pada hari ini bagi pelaksanaan SHMMP di seluruh negara membabitkan 65 premis borong dan 2,372 premis runcit.

"Daripada jumlah itu, satu kes runcit direkodkan di mana peniaga meletakkan harga RM9 sekilogram untuk ayam standard yang disenarai sebagai barangan kawalan sempena musim perayaan ini.

"Peniaga terbabit dikompaun RM2,500 yang perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari atau akan didakwa di mahkamah sekiranya gagal.

"Hari ini, kita terima tiga aduan membabitkan SHMMP dan kita mengalu-alukan maklumat daripada semua pihak bagi memastikan peladang, pemborong mahupun peruncit patuh pada harga maksimum ditetapkan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Merujuk kepada aduan awam berhubung kenaikan harga runcit ayam standard, beliau berkata, semua pejabat KPDNHEP negeri sudah melakukan pemeriksaan sejak awal pagi dan mendapati kebanyakan peniaga patuh kepada harga maksimum itu.

Katanya, semua pasar basah dilaporkan menjual ayam standard pada harga maksimum iaitu RM7.50 sekilogram.

"Malah, ada peniaga di Pasar Besar Alor Setar didapati menjual pada harga lebih rendah. Pemantauan di peringkat pasar raya juga menyaksikan ayam dijual pada harga antara RM7 hingga RM7.40 sekilogram," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di dua pasar basah sekitar Lembah Klang mendapati peniaga meletakkan harga RM7.50 sekilogram bagi ayam standard.

Ketika ditanya mengenai dakwaan pengguna mengenai harga ayam standard yang tinggi dua tiga hari kebelakangan ini, peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Imron berkata, ia dipengaruhi harga tinggi ditetapkan pembekal.

"Ada pembekal meletakkan harga lebih tinggi berbanding biasa malah bekalan juga tidak sebanyak dulu jadi kami perlu ambil kira kos sampingan lain.

"Tetapi hari ini, hari pertama SHMMP jadi kami akur dengan penetapan harga sepanjang tempoh kawalan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 9:50 PM