81 naskah pasport pelbagai negara (Pakistan, Bangladesh dan Vietnam) dan wang tunai berjumlah RM15,950.00 dirampas hasil pemeriksaan di premis di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur oleh Jabatan Imigresen Malaysia susulan penanahan lelaki warga Pakistan yang juga dalang kegiatan ejen Program Rekalibrasi Tenaga Kerja. FOTO IHSAN JIM
81 naskah pasport pelbagai negara (Pakistan, Bangladesh dan Vietnam) dan wang tunai berjumlah RM15,950.00 dirampas hasil pemeriksaan di premis di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur oleh Jabatan Imigresen Malaysia susulan penanahan lelaki warga Pakistan yang juga dalang kegiatan ejen Program Rekalibrasi Tenaga Kerja. FOTO IHSAN JIM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lelaki warga Pakistan yang juga dalang kegiatan ejen Program Rekalibrasi Tenaga Kerja ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas di dua premis di Jalan Ipoh, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dijalankan sepasukan pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas di dua premis, pada jam 4.30 petang.

Menurutnya, operasi khas ini, susulan daripada Ops Hack yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 April lalu.

"Operasi ini bertujuan bagi mengesan saki baki syarikat yang menggunakan pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket 'ID Hack' Sistem MyIMMs.

"Dalam operasi ini, seorang lelaki warganegara Pakistan berusia 39 tahun yang juga 'Mastermind' (dalang) sindiket ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul berkata, turut ditahan seorang wanita tempatan berusia 20 tahun dan lelaki tempatan, 24, kerana bekerjasama dan melindungi lelaki Pakistan terbabit.

"Pemeriksaan awal turut mendapati lelaki Pakistan itu menggunakan PLKS palsu yang dikeluarkan secara tidak teratur.

"Sejumlah 81 naskah pasport pelbagai negara (Pakistan, Bangladesh dan Vietnam) dan wang tunai berjumlah RM15,950.00 dirampas hasil pemeriksaan di premis sindiket beroperasi," katanya.

Beliau berkata, premis berkenaan dijadikan sebagai pusat mengumpul pasport daripada warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta dan Peraturan Imigresen untuk didaftarkan dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dengan bayaran antara RM2,000 ke RM3,000 seorang.

"Berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi, sindiket ini dianggarkan membuat kutipan dalam lingkungan RM243,000.

"Modus operandi sindiket ini adalah lelaki Pakistan terbabit mendapatkan pelanggan dalam kalangan warganegara Pakistan terutama mereka yang melakukan kesalahan mengikut Akta dan Peraturan Imigresen dan ditawarkan untuk menyertai Program Rekalibrasi," katanya.

Katanya, semakan awal ke atas pasport yang dirampas di tempat kejadian turut menemui pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket 'ID Hack' yang ditumpaskan sebelum ini.

"Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

"Jabatan ini menasihatkan orang ramai terutamanya warga asing dan majikan supaya berurusan terus dengan JIM dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen dalam urusan Program Rekalibrasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 5:35 PM