WARGA asing yang ditahan dalam operasi khas JIM di Kuala Lumpur, kelmarin. Turut ditahan dalang sindiket membekal buruh asing menggunakan PLKS palsu. FOTO Ihsan JIM.
WARGA asing yang ditahan dalam operasi khas JIM di Kuala Lumpur, kelmarin. Turut ditahan dalang sindiket membekal buruh asing menggunakan PLKS palsu. FOTO Ihsan JIM.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Lelaki warga India disyaki dalang sindiket membekal buruh asing dengan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, dicekup dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kelmarin.

Operasi berlangsung di sebuah asrama pekerja sekitar Brickfields di sini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap pekerja asing mendapatkan PLKS yang kononnya membolehkan mereka bekerja di sektor perkilangan.

Menurutnya, majikan yang menggunakan khidmat warga asing terbabit pula diarah untuk membayar gaji pekerja berkenaan menerusi syarikat milik sindiket.

"Sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM4.5 hingga RM5 juta setahun hasil kegiatan haram yang dilakukan.

"Hasil semakan awal mendapati suspek (dalang) yang berusia 45 tahun itu memegang Pas Ekspatriat yang tulen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, operasi dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dan Bahagian Penguatkuasaan, Putrajaya itu menahan 65 lelaki semuanya pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Tangkapan membabitkan 43 lelaki warga India, Bangladesh (20)dan Pakistan (dua) berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun.

"Antara dirampas 62 pasport terdiri dari 40 pasport India, Bangladesh (20), Pakistan (dua) yang dilekatkan pelekat PLKS palsu turut dirampas lapan pelekat PLKS palsu yang belum dilekatkan," katanya.

Katanya, hasil soal siasat terhadap suspek, pihaknya menahan seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai orang kanan sindiket terbabit dalam satu serbuan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan.

"Semakan mendapati suspek (kedua) yang berusia 30 tahun ini menggunakan PLKS untuk bergerak bebas di negara ini.

"Modus operandi sindiket ialah dengan menubuhkan syarikat yang membekalkan tenaga kerja asing dan menawarkan tenaga kerja kepada majikan serta kilang yang memerlukan pekerja," katanya.

Beliau berkata, selepas bersetuju, pihak sindiket akan membekalkan buruh asing terbabit yang dibekalkan dengan PLKS palsu bagi memperdaya syarikat atau kilang berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

"Semua individu ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

"JIM komited membanteras keberadaan di negara ini dan akan meneruskan penguatkuasaan undang-undang serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol melindungi Pati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 6:07 PM