Norazifa Othman bersama suami dan anaknya.
Norazifa Othman bersama suami dan anaknya.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Sepanjang Ramadan ini kami tetap berjimat dan tidak membazir dengan memanaskan lauk sama selama tiga hari berturut-turut," kata Norazifa Othman, 37.

Norazifa berkata, dia dan suami, Mohd Fauzi Harian, 46, sanggup berkorban demi menjimatkan wang untuk membeli susu khas disyorkan doktor serta keperluan lain bagi dua anak syurganya.

Menurutnya, kos pembelian susu khas untuk kegunaan Muhammad Faiz Irfan Mohd Fauzi, 12 tahun dan Muhammad Farhan Imran berusia setahun tujuh bulan mencecah RM3,000 setiap bulan.

Selain itu, keluarganya turut menanggung perbelanjaan pembelian lampin pakai buang, serta membiayai kos pengangkutan bagi berulang-alik ke hospital.

"Muhammad Faiz Irfan menghidap lapan jenis kecacatan termasuk dilahirkan tanpa telinga sebelah kanan, masalah usus, keradangan paru-paru, kekurangan oksigen dalam badan, kecacatan lelangit dan kekejangan otot.

"Dia juga tidak memiliki anak tekak hingga sukar menelan makanan dan saluran pencernaan tidak sempurna.

"Sehingga kini Muhammad Faiz yang mengalami masalah kekejangan otot lumpuh malah bergantung kepada 10 jenis ubat serta dia minum susu kira-kira lapan kali sehari," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Terdahulu, Norazifa menerima sumbangan barangan keperluan disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam.

Norazifa yang juga tukang urut berkata, Muhammad Farhan Imran pula mengalami masalah sawan sejak Disember lalu, malah kanak-kanak itu Imran boleh diserang sawan sehingga lapan kali sehari, sekali gus memerlukan penjagaan rapi setiap masa.

Katanya, walaupun memiliki kemahiran urutan badan namun dia tidak mampu bekerja kerana perlu menjaga dua anaknya.

"Muhammad Farhan Imran juga tidak sesuai makan bubur dan bergantung kepada susu khas.

"Dia juga kerap masuk hospital dan apabila saya menemaninya di hospital, suami yang bekerja sebagai penghantar barangan terpaksa bercuti kerana perlu menjaga Muhammad Faiz Irfan.

"Keluarga kami kini bergantung kepada pendapatan suami kira-kira RM800 sebulan selain bantuan keseluruhan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sejumlah RM1100.

"Kadang-kala kami terdesak untuk meminta bantuan kenalan bagi membeli susu bagi anak.

"Kami juga menanggung persekolahan anak sulung Fatin Norazwaeni berusia 13 tahun di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Seri Alam, Masai," katanya.

Norazifa berkata, kini mereka berhasrat mengumpul wang bagi membayar tunggakan sewa rumah serta bil elektrik kira-kira RM2,000.

"Anak adalah keutamaan kami dan anugerah tidak ternilai dari Allah, kami sedaya upaya membesarkan mereka.

"Saya berharap kedua-dua anak syurga saya diberi kesembuhan dan memiliki masa depan cerah," katanya.

Sementara itu, Mas Imran berkata, pasar raya berkenaan menyalurkan sumbangan bernilai RM1,000 kepada keluarga berkenaan termasuk susu khas dan lampin pakai buang.

"Kami juga menyumbangkan bekalan barangan dapur bagi kegunaan pasangan suami isteri ini sepanjang Ramadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 7:16 PM