NORAZIFA memberi susu kepada Muhammad Faiz Irfan menerusi tiub selain turut memantau keadaan Muhammad Farhan Imran.
NORAZIFA memberi susu kepada Muhammad Faiz Irfan menerusi tiub selain turut memantau keadaan Muhammad Farhan Imran.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Saya bukan saja memiliki dua anak syurga, malah suami pula disahkan menghidap penyakit tibi pada awal Disember lalu dan masih menjalani kuarantin," kata tukang urut, Norazifa Othman, 37, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama di Tampoi di sini.

Norazifa berkata, nasib keluarganya ibarat jatuh ditimpa tangga apabila ahli keluarganya termasuk dua cahaya mata dan suami diuji dengan masalah kesihatan.

Menurutnya, anak keduanya, Muhammad Faiz Irfan, 12, menghidap lapan jenis kecacatan termasuk dilahirkan tanpa telinga sebelah kanan, masalah usus, keradangan paru-paru, kekurangan oksigen dalam badan, kecacatan lelangit dan kekejangan otot.

Katanya, Muhammad Faiz Irfan juga tidak memiliki anak tekak hingga sukar menelan makanan dan saluran pencernaan tidak sempurna dan sehingga kini Muhammad Faiz yang mengalami masalah kekejangan otot lumpuh malah bergantung kepada 10 jenis ubat serta meminum susu kira-kira lapan kali sehari.

"Anak bongsu berusia dua tahun, Muhammad Farhan Imran pula mengalami masalah tumbesaran terbantut, epilepsi atau sawan sejak Disember tahun lalu.

"Muhammad Farhan Imran diserang sawan kira-kira lapan kali sehari sehingga ia perlu memberi penjagaan rapi setiap masa," katanya.

Norazifa berkata, selain menanggung dua anak syurga, suami Mohd Fauzi Harian, 46, turut menghidap tibi.

Menurutnya, ia mengakibatkan suami yang bekerja sebagai penghantar barang terpaksa berhenti kerja hingga keluarganya hilang punca pendapatan.

Katanya, ia mengakibatkan keluarga mengalami kesulitan menanggung kos pembelian susu jenis bagi kegunaan Muhammad Faiz mahupun Muhammad Farhan Imran mencecah RM3,000 setiap bulan.

"Malah, kami juga menanggung perbelanjaan pembelian lampin pakai buang selain kerap membiayai kos pengangkutan bagi berulang-alik ke hospital," katanya

Norazifa berkata, walaupun memiliki kemahiran urutan badan, dia tidak mampu bekerja kerana perlu memberi jagaan kepada dua anak syurga.

Ditambah pula suami yang belum sembuh daripada penyakit berkenaan dinasihatkan menjalani kuarantin bagi mengelakkan ahli keluarga dijangkiti terutama anak syurga yang memiliki tahap imunisasi tubuh rendah.

"Suami kini tinggal di rumah ibu mentua di Skudai, manakala saya tabah memberi jagaan kepada kedua-dua anak syurga berseorangan diri dan anggap ujian dialami kami sebagai tanda Allah menyayangi kami," katanya.

Norazifa berkata, keluarganya bergantung kepada bantuan keseluruhan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Johor (Maij) sejumlah RM1100 setiap bulan.

"Walaupun terima bantuan, ia hanya mampu menampung sebahagian perbelanjaan dan kami berdepan masalah untuk membayar sewa rumah mahupun bil utiliti.

"Kami juga menanggung persekolahan anak sulung Fatin Norazwaeni berusia 13 tahun di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Seri Alam, Masai," katanya.

Norazifa berkata demikian ketika ditemui di kediaman keluarga di 01-07, Blok Tulip, Tingkat 1, Uda Utama, Tampoi.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 01135-41-10001844-7 milik Norazifa atau hubungi talian 0172629221.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:31 AM