BOMBA membantu mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Suami maut, manakala isteri dan anak mereka yang berusia dua tahun terselamat selepas kereta dinaiki bertembung treler di Kilometer 85.5 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, ketika kejadian, kereta dipandu Osman Ismail, 31, itu hilang kawalan dan memasuki laluan treler terbabit.

"Treler berkenaan dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala ke Ayer Hitam, manakala kereta pula dari arah bertentangan.

"Sampai di tempat kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan treler dan berlaku pelanggaran menyebabkan pemandu kereta yang berusia 31 tahun parah dan meninggal dunia di tempat kejadian

"Dua penumpang kereta, pemandu dan kelindan treler cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, penumpang kereta itu dikenal pasti sebagai Nurhuda Aida Muhmadi, 27, dan Ahmad Ridzhan Rizqi Osman, 2.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam pada itu, Menurut Komander Operasi Mohd Faizal Rozali dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, sebuah jentera dan tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada 5.12 petang.

"Terdapat mangsa cedera dan meninggal dunia yang tersepit di dalam kenderaan itu. Tindakan operasi membuat penyelamatan dan mengeluarkan kesemua mangsa menggunakan peralatan khas.

'Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Operasi ditamatkan pada 6.12 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 8:20 AM