KEADAAN treler terbalik selepas rempuh tiang papan tanda arah, semalam.
KEADAAN treler terbalik selepas rempuh tiang papan tanda arah, semalam.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 8.5 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dekat Bandar Baru Uda di sini, sehingga menyebabkan papan tanda arah tumbang dan berlaku kesesakan jalan teruk pagi semalam, disahkan positif syabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi, lelaki berusia 27 tahun yang turut cedera ringan itu didapati gagal mengawal treler yang dipandunya sehingga merempuh tiang papan tanda arah di tengah pembahagi jalan menyebabkan ia tumbang di kedua-dua arah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Beh Eng Lai berkata, pemandu yang berasal dari Air Hitam dan menetap di Skudai Kiri, di sini, sudah ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan melulu atau membahayakan.

“Dia yang mempunyai lesen memandu yang sah bagaimanapun disahkan positif syabu menerusi ujian saringan awal air kencing dan esok (hari ini) polis akan mendapatkan perintah reman daripada mahkamah,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 8:01 AM