GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Penganggur duhukum denda RM3,800 di Mahkamah Majistret Bahau, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan sengaja melakukan ugutan jenayah sehingga mendatangkan ketakutan pada bekas isterinya sambil memegang pisau, 15 April lalu.

Tertuduh Mohamad Zaki Mohd Isa, 28, dari Rompin membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Muhammad Hidayat turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pergi ke rumah bekas isterinya di Rompin bagi menghantar pulang anak bongsu sebelum diminta pulang oleh bekas isterinya.

Bagaimanapun tertuduh enggan berbuat demikian sebelum berlaku pertengkaran.

Tertuduh mengambil pisau di dapur sebelum mengugut mahu mencederakan bekas isterinya.

Tertuduh ditangkap polis di rumahnya di Rompin, 16 April lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 12:45 PM