GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Tiga lelaki dan tiga wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini, atas dakwaan merosakkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora di Felda Palong Tujuh, 4 November lalu.

Tertuduh, J Haridhas, 37; N Shelammah, 31; R Themoly, 31; N Saraswathy, 50; R Logavikineswaran, 24, dan R Paramasivam, 32, yang semuanya dari Felda Palong Lapan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 425 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan terhadap semua tertuduh dibaca berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Bagaimanapun, hanya Paramasivam mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda RM2,400 dan penjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Lima lagi tertuduh tidak mengaku salah sebelum Muhammad Hidayat mengenakan jaminan RM3,500 setiap seorang dengan seorang penjamin selain menetapkan 29 November ini sebagai sebutan semula kes.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh dengan niat curang melakukan khianat menyebabkan kerosakan terhadap cermin MPV Proton Exora dipandu M Sivaraja, 47, di hadapan tadika Felda Palong Tujuh pada 11.30 pagi 4 November lalu.

Paramasivam turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja melakukan ugutan jenayah sehingga mendatangkan ketakutan kepada Sivaraja, G Bawani, 38 dan M Saravanammuthu, 42, dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak mengaku bersalah sebelum Muhammad Hidayat mengenakan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 29 November ini.

J Haridhas turut dituduh menyebabkan kecederaan di bahagian dagu serta mulut terhadap Sivaraja serta kecederaan di bahagian kepala serta dada S Preevin Raj, 17, dalam kejadian itu.

Tertuduh yang dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah sebelum dikenakan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dengan sebutan semula kes pada 29 November ini.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Noor Azizi Abd Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 3:56 PM