GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang penganggur yang pernah mengugut mahu membunuh adik beradiknya didenda RM18,800 selepas mengaku bersalah terhadap pendakwaan kes dadah dan ugutan jenayah.

Tertuduh, Mohamad Kamal Arief Muhamad, 28 dari FELDA Palong Lima di sini, didakwa atas empat pertuduhan di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab di Mahkamah Majistret Bahau di sini, pagi semalam.

Dua pertuduhan itu adalah membabitkan kes dadah dan satu ugutan jenayah yang berlaku pada 2017 dan 2020 namun tertuduh menghilangkan diri menyebabkan dia berada dalam senarai dikehendaki polis.

Bagaimana tertuduh berjaya ditangkap polis sebaik ibunya membuat laporan polis selepas tertuduh melakukan perbuatan khianat ke atas harta benda selain menggugut mahu menyembelih adik beradiknya dalam kejadian jam 3.30 petang 5 Mei 2021 lalu.

Berikutan itu tertuduh turut dituduh mengikut Seksyen 425/426 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tertuduh kemudian dijatuhi hukuman denda RM4,500 dan RM6,000 bagi setiap pertuduhan selain diarah menjalani hukuman penjara 14 dan18 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh dijatuhi hukuman denda RM3,800 serta tiga tahun pengawasan polis dan diarah menjalani hukuman penjara selama 13 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh kemudian dijatuhi hukuman denda RM4,500 selepas mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta diarah menjalani hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 5:30 PM