GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Tindakan penganggur mengugut mahu menyebarkan gambar bogel teman wanitanya selepas wanita itu tidak mahu meneruskan hubungan membawa padah apabila dia dihukum denda oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman denda RM3,500 kepada Mohamad Fazrul Mohd Fuzi, 26, dari Kuala Pilah selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Muhammad Hidayat turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan ugutan jenayah dengan niat mahu menyebarkan gambar - gambar lucah milik mangsa menerusi Whatsapp di Taman Desa Putera pada 7.07 malam 17 Januari lalu .

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengugut mahu menyebarkan gambar dan video milik teman wanitanya itu sekiranya tidak mahu mendengar cakapnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 506 akta yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 1:15 PM