Dadah yang dirampas dalam serbuan polis di Taman Sri Petaling, semalam. FOTO Ihsan PDRM.
Dadah yang dirampas dalam serbuan polis di Taman Sri Petaling, semalam. FOTO Ihsan PDRM.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dua lelaki disyaki tokan dadah ditahan polis dan sejumlah dadah bernilai lebih RM221,000 dirampas dalam serbuan di Taman Sri Petaling di sini, semalam.

Kedua-dua suspek berusia 41 dan 61 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pasukan menahan suspek semasa berada di tempat letak kereta di Jalan Pasai 6, pada 3.44 petang.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui 20,000 biji pil erimin 5 anggaran berat 5,200 gram yang diletakkan dalam beg kanvas.

"Ujian saringan awal urin mendapati seorang suspek positif dadah jenis amphetamine, ketamine dan benzo manakala seorang lagi suspek negatif dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM221,000 dan dadah berkenaan boleh dibekalkan kepada 20,000 pengguna.

Katanya, kedua suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 25 Oktober untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, pihaknya masih meneruskan siasatan termasuk bagi mengenalpasti ahli sindiket yang terbabit dan sumber bekalan diperoleh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menyalurkannya dengan menghubungi IPD Brickfields di talian 03-22979222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 7:23 PM