KETUA Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abdul Manan menyerahkan pakaian seragam kepada ibu bapa Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan sebagai simbolik penghormatan terakhir. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
KETUA Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abdul Manan menyerahkan pakaian seragam kepada ibu bapa Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan sebagai simbolik penghormatan terakhir. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Anggota polis maut dihimpit penunggang motosikal yang positif dadah dan mempunyai 11 rekod jenayah ketika mengejarnya dalam kejadian di Jalan Utama, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 1 pagi itu, Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 20, bersama dua lagi anggota polis yang bertugas sedang melakukan rondaan, mengejar penunggang motosikal itu sebelum dihimpit suspek.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dan rakan pasukannya mengesan penunggang motosikal berkenaan dalam keadaan mencurigakan ketika melalui Jalan Scotland di sini.

Katanya, suspek lelaki itu kemudian bertindak memecut motosikalnya bagi melarikan diri sebelum tiga anggota polis terbabit mengejar mangsa sehingga ke Jalan Utama berhampiran Jalan Kebun Bunga.

"Suspek yang menunggang secara berbahaya kemudian menghimpit mangsa ketika mahu meloloskan diri menyebabkan kedua-duanya terbabas sehingga kepalanya terhantuk pada tebing jalan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi manakala seorang lagi anggota polis turut mengalami cedera ringan," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, suspek berusia 35 tahun dari Jalan Tanjung Tokong yang ditahan itu didapati mempunyai 11 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif tiga jenis dadah iaitu methamphetamine, amphetamine dan ganja jenis tetra hydrocannibol (THC)

"Turut dijumpai di lokasi ialah satu paket dadah jenis syabu dianggarkan seberat 22 gram dan polis masih menyiasat sama ada dadah terbabit dibawa suspek semasa kejadian.

"Terdapat saksi awam yang mendakwa suspek menunggang secara berbahaya dan memecut laju ketika kejadian.

"Suspek akan direman esok dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya lagi.

Menurut Soffian lagi, Muhammad Iqbal yang berasal dari Kuala Besut, Terengganu, baharu 18 bulan berkhidmat sebagai anggota polis di Balai Polis Dato' Kramat, di sini.

Jenazah akan dibawa pulang bagi disemadikan di kampung halaman sebaik sahaja urusan bedah siasat selesai.

Soffian terdahulu menziarahi keluarga mangsa yang masih menunggu urusan bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP).

Hadir sama ialah Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abdul Manan yang menyerahkan pakaian kepada bapa mangsa, Mazlan Omar, 56, dan ibu, Noraini Jaafar, 54, sebagai simbolik penghormatan terakhir.

GEORGETOWN 17 APRIL 2021. Anggota dari Balai Polis Dato' Kramat Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 22, yang terbabit kemalangan maut semasa bertugas di Jalan Scotland, di sini. NSTP/IHSAN PDRM

GEORGETOWN 17 APRIL 2021. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abdul Manan menyerahkan pakaian kepada, Mazlan Omar, 56, dan Noraini Jaafar, 54, sebagai simbolik penghormatan terakhir anak mereka Konstabel Muhammad Iqbal Mazlan, 22, anggota polis dari Balai Polis Dato' Kramat, yang terbabit kemalangan maut semasa bertugas di Jalan Scotland, di sini. NSTP/ZUHAINY ZULKIFFLI

From: Nini

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 1:15 AM