Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Suspek yang bertindak agresif ketika cuba melarikan diri daripada polis di Jalan Batu Uban 2 di sini, pagi tadi, mengaku berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan awal mendapati, suspek memperoleh dadah itu daripada rakannya di Bayan Lepas, untuk kegunaan sendiri.

Namun Soffian berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada dadah itu turut diagih kepada rakannya yang lain.

"Kita percaya suspek melarikan diri kerana bimbang tindakannya menyimpan dadah diketahui polis.

"Suspek sudah bercerai dengan isterinya dan memiliki seorang anak," katanya.

Soffian ditemui ketika meninjau lokasi lelaki berusia 61 tahun yang meninggal dunia akibat dilanggar suspek di Jalan Perak di sini, ketika suspek cuba lari daripada polis.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, pihaknya sudah mendapatkan rakaman video daripada kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran bagi melakukan siasatan lebih menyeluruh insiden mangsa dilanggar suspek.

Katanya, berdasarkan siasatan awal terhadap rakaman CCTV itu, mangsa dilanggar Perodua Myvi dipandu suspek ketika sedang melintasi lampu isyarat.

Akibat rempuhan, mangsa melambung sebelum digilis kereta dipandu suspek ketika melarikan diri.

"Kami masih mengesan waris mangsa bagi tujuan tuntutan selepas proses bedah siasat dijalankan esok.

"Suspek akan dipohon reman jam 9 pagi esok di Mahkamah Majistret Pulau Pinang bagi membantu siasatan," katanya.

Soffian (tengah) melihat anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menjalankan siasatan di lokasi kejadian di Jalan Perak, Pulau Pinang, Georgetown di sini. Seorang warga emas, 61, maut di lokasi kejadian akibat dilanggar seorang suspek ketika melarikan diri daripada pihak polis. FOTO MIKAIL ONG
Soffian (tengah) melihat anggota forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menjalankan siasatan di lokasi kejadian di Jalan Perak, Pulau Pinang, Georgetown di sini. Seorang warga emas, 61, maut di lokasi kejadian akibat dilanggar seorang suspek ketika melarikan diri daripada pihak polis. FOTO MIKAIL ONG

Dalam perkembangan lain, Soffian berkata, pihaknya sudah berhubung dengan wakil di Konsulat Indonesia bagi membuat pengesahan mengenai jaket dipakai suspek yang mempunyai logo konsulat itu.

"Suspek mengaku memperoleh pakaian itu dua bulan lalu daripada bapa saudara rakannya yang bekerja di konsulat berkenaan.

"Pihak konsulat juga bimbang sekiranya suspek pernah bekerja dengan mereka namun kita sudah maklumkan kepada mereka (siapa suspek)," katanya.

Pada kejadian jam 6.40 pagi, suspek berusia 46 tahun bertindak agresif dan melarikan diri sebelum dikejar polis selama kira-kira 25 minit.

Tiba di Jalan Perak, suspek melanggar seorang lelaki sebelum memecut di Jalan Van Praagh.

Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan kerana suspek terus bertindak agresif malah hampir melanggar polis ketika melalui Jalan Batu Uban 2.

Pemeriksaan pada suspek menemukan tiga paket heroin seberat 13 gram.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Berita berkaitan:

  • Cuba lari dari polis, pemotong rumput langgar pejalan kaki
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:50 PM