ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta membuat keputusan lebih awal berhubung rentas negeri sempena perayaan Aidilfitri.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan keputusan berkenaan dibuat atas nasihat kementerian berkenaan.

Katanya, isu rentas negeri adalah perkara utama apabila tiba Ramadan, khususnya Aidilfitri kelak.

"Apabila membuat penilaian risiko, mereka (KKM) tahu sekiranya buka, apa risikonya atau kesannya. Jadi kita tunggu dari KKM boleh atau tidak (rentas negeri).

"Ia bukan kuasa kita. Kita lihat, sebelum ini apabila kerajaan membenarkan rentas negeri, terdapat 31 kluster balik kampung, sebab itu KKM berhati-hati pada kali ini.

"Kita akan minta KKM supaya buat keputusan lebih awal. Ya atau tidak biar lebih awal. Jadi rakyat boleh bersedia.

"Kita akan umum dalam waktu terdekat kerana kita tidak mahu ganggu orang balik kampung, (memudahkan orang ramai yang) ingin beli tiket pesawat, bas dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, supaya mengemukakan cadangan atau keputusan mengenai rentas negeri sebelum Ramadan.

Terdahulu, pada 27 Mac lalu, kerajaan sedang meneliti untuk membenarkan pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri nanti.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik berkata, pengumuman akan dibuat sebaik semua data berkaitan dianalisis oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 6:21 PM