Ismail Sabri
Ismail Sabri
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan sudah mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah manakala sambutan Aidilfitri hanya dalam kalangan ahli keluarga sendiri di dalam rumah yang sama sahaja.

Malangnya, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masih ada yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) itu.

Akibatnya, beliau berkata, 24 kluster berkaitan sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 27 Mei 2021.

"Secara kumulatifnya, sebanyak 850 kes sudah direkodkan daripada kluster ini manakala seramai 3,309 individu menjalani ujian saringan.

"Paling membimbangkan, apabila KKM mendapati kebanyakan kes positif dilaporkan membabitkan individu yang tidak bergejala.

"Bagi kluster ini, sebanyak 699 kes tidak bergejala sudah dikesan berbanding yang bergejala iaitu 151 kes," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, data KKM menunjukkan kluster sambutan Hari Raya Aidilfitri paling tinggi direkodkan di Tumpat, Kelantan iaitu 224 kes.

Selain itu, katanya, Kluster Simpang Sahari di Wilayah Persekutuan Labuan pula merekodkan 123 kes.

"Justeru, saya amat berharap rakyat terus patuhi SOP memandangkan kes positif semakin meningkat naik dan hari ini ia mencecah lebih 8,000 kes," katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dilaporkan berkata, jangkitan harian Covid-19 hari ini mencatatkan 8,288 kes, tertinggi setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 7:31 PM