ZAIRIL (tengah) dan Yeoh (kiri) ketika melakukan lawatan tapak projek pembinaan sebahagian Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus. FOTO Zuhainy Zulkiffli
ZAIRIL (tengah) dan Yeoh (kiri) ketika melakukan lawatan tapak projek pembinaan sebahagian Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus kini sudah 94.83 peratus siap berbanding jangkaan 95.11 peratus seperti dijadualkan.

Laluan terbabit akan dibuka kepada orang awam menjelang Oktober depan berbanding Julai seperti diumumkan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, beberapa faktor menyebabkan projek berkenaan dilanjutkan berikutan hal teknikal membabitkan kerja tambahan selain kekangan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, antara kerja berkenaan ialah proses rawatan cerun dan penjajaran semula jalan sambungan ke Jalan Paya Terubong mengikut perakuan pakar geologi.

"Pada masa ini, kerja tanah pada bahagian sambungan Lebuh Bukit Jambul dengan Jalan Paya Terubong masih dijalankan membabitkan kerja pembaikan cerun, pembinaan tembok penahan dan pemasangan 'T-beam'.

"Apabila siap kelak, ia mampu menyuraikan masalah kesesakan lalu-lintas pada kadar sehingga 30 peratus," katanya ketika mengadakan lawatan di tapak projek berkenaan, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH) Yeoh Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Terubong.

Projek bernilai RM400 juta itu adalah jalan bertingkat alternatif menghubungkan antara Lebuhraya Thean Tek di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul yang keseluruhannya sepanjang 5.5 kilometer.

Ia membabitkan pembinaan sambungan kepada Jalan Bukit Kukus dengan Lebuhraya Thean Teik dan Lebuh Bukit Jambul sepanjang lima kilometer.

Manakala sebahagian lagi adalah pembinaan pautan dari Jalan Bukit Kukus ke Jalan Tun Sardon (Tun Sardon Link) sepanjang 600 meter.

Zairil berkata, laluan dengan ketinggian 60 meter berkenaan dijangka menjadi lebuh raya yang paling tinggi di Malaysia selepas jambatan Lebuhraya Rawang-Serendah atau Rawang Bypass iaitu 58.2 meter.

"Bagaimanapun ia akan dibincangkan bersama Malaysia Book of Records (MBOR) apabila ia siap kelak," katanya lagi.

Terdahulu, dalam kejadian 19 Oktober 2018, sembilan mangsa ditemui maut tertimbus, manakala tiga lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 1:08 PM