Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kejadian air bertakung di Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus di sini, yang berlaku semalam dikenal pasti berpunca daripada daun kering dan sampah sarap menghalang laluan air keluar menerusi sistem perparitan.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 6.30 petang di bahagian penghujung jejantas menghala ke Jalan Tun Sardon.

Bagaimanapun, menurutnya kerja pembersihan dilaksanakan segera dan laluan itu sudah kembali sempurna serta selamat digunakan orang awam.

"Takungan air berkenaan berlaku disebabkan hujan lebat di kawasan itu dan MBPP berharap supaya orang awam dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya," katanya MBPP menerusi satu kenyataan di sini.

Semalam, tular satu video berdurasi 10 saat yang dirakam pengguna jalan raya mengenai keadaan laluan berkenaan yang ditakungi air ketika hujan lebat.

Keadaan air bertakung yang didakwa berlaku di Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus, Georgetown semalam. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan air bertakung yang didakwa berlaku di Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus, Georgetown semalam. Foto Ihsan Pembaca

Kejadian itu juga didakwa menyebabkan beberapa kenderaan terperangkap.

Laluan jalan berkembar itu dibuka kepada orang ramai bermula 13 Januari lalu selepas mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan.

Lebuh raya tertinggi di Malaysia itu dibina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan trafik sebanyak 30 peratus dan memberi manfaat kepada kira-kira 60,000 pengguna jalan raya setiap hari.

Terdapat satu laluan di lebuh raya itu dengan ketinggian 61.5 meter seklai gus menjadikannya sebagai lebuh raya paling tinggi di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 4:21 PM