JALAN Berkembar Paya Terubong
JALAN Berkembar Paya Terubong
BERNAMA

Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang menafikan kenyataan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong yang mendakwa kos projek Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus, di sini meningkat daripada RM275 juta sehingga RM545 juta seperti dilaporkan media.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata, kenyataan yang dibuat oleh Oh, seperti yang dilaporkan dalam beberapa media baru-baru itu menunjukkan beliau kurang arif mengenai projek itu.

"Projek itu terbahagi kepada tiga bahagian yang semuanya dilaksanakan oleh pihak berlainan iaitu PLB Land Sdn Bhd, Geo Valley Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), hal ini sudah dijelaskan sejak dari awal projek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Oh dilaporkan mempersoalkan kos projek itu yang pada mulanya diumumkan sebanyak RM275 juta dan beliau dilaporkan berkata kini Zairil mengatakan kos projek meningkat kepada RM545 juta.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, bahagian yang dilaksanakan oleh MBPP pula terbahagi kepada tiga lagi bahagian iaitu menaik taraf Jalan Bukit Kukus sepanjang 600 meter (m) di antara Lebuhraya Thean Teik dan Lorong Semarak Api 3, termasuk menaik taraf 450m sepanjang Lebuhraya Thean Teik yang sudah disiapkan sepenuhnya (100 peratus) pada 14 Januari 2017.

Zairil berkata, MBPP juga membina jajaran utama Jalan Bukit Kukus sepanjang 1.6 kilometer dan Link Tun Sardon dari Jalan Bukit Kukus ke Jalan Tun Sardon sepanjang 500m serta menaik taraf Lebuh Bukit Jambul yang akan disiapkan pada hujung tahun ini.

Katanya, dari segi kos, bahagian MBPP membelanjakan sebanyak RM275 juta dan kos itu tidak meningkat sama sekali walaupun berlaku kelewatan.

"Angka RM545 juta pula adalah kos keseluruhan projek termasuk bahagian yang dilaksanakan oleh pihak swasta.

"Oh sepatutnya tahu perbezaan ini kerana sudah berkali-kali perkara ini dijelaskan," katanya.

Beliau berkata, pada ketika ini, tahap kemajuan bahagian MBPP adalah 96 peratus serta dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Katanya, ini jelas Oh tidak memahami perihal projek pembinaan kerana peratusan itu adalah pengiraan yang relatif kepada masa dan kuantiti kerja yang ditetapkan.

"Sekiranya tempoh siap kerja dilanjutkan dengan EOT (tambahan masa), maka sudah tentu peratusan kemajuan kerja juga akan berubah, dan pengiraan itu adalah kelaziman dalam semua projek pembinaan.

"EOT yang terbaru iaitu sehingga hujung tahun 2021 diberi kepada kontraktor akibat isu seperti pengambilan tanah, kerja penstabilan cerun, pengalihan utiliti, tanah runtuh di tapak kerja dan masalah berkait Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020.

"Justeru, sebahagian Jalan Bukit Kukus yang dibina oleh MBPP dijangka dibuka kepada pengguna jalan raya menjelang hujung tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:10 PM