Muhammad Yusri Muzamir


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengakui tiada kemungkinan baki mangsa yang tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Georgetown, ditemui dalam keadaan selamat.

Insiden Komander SAR, Morni Mamat berkata, ia berikutan tempoh dan keadaan struktur tanah di lokasi kejadian, selain operasi SAR kini tertumpu kepada pencarian mayat mangsa yang masih tertimbus.

“Lokasi pencarian hari ini dibahagi kepada tiga sektor dengan jaraknya kira-kira 50 meter dari lokasi runtuhan. Operasi SAR hari ini, agak sukar ekoran struktur tanah lembut berikutan hujan sejak pagi tadi.

“Alat pengesan pergerakan (tanah) dibekalkan pasukan SMART juga digunakan, selain akan mengalih kedudukan anggota penyelamat ke kawasan selamat sekiranya berlaku pergerakan tanah.

“Setakat ini, empat mangsa sudah ditemui dengan tiga daripadanya maut dan seorang cedera, manakala dua lagi mangsa diselamatkan sebelum operasi SAR dijalankan. Mereka yang terselamat kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

ANGGOTA bomba mencari dan menyelamat mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong. FOTO Mikail Ong
ANGGOTA bomba mencari dan menyelamat mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong. FOTO Mikail Ong

Semalam, seramai dua mangsa ditemui maut, masing-masing lelaki warga Indonesia dan Bangladesh, manakala seorang cedera selain 10 lagi pekerja binaan dikhuatiri masih tertimbus.

Minggu lalu, sebahagian rasuk konkrit bagi projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, runtuh apabila kren yang mengangkat kepingan plat keluli secara tidak sengaja terkena struktur terbabit, kira-kira 8 malam.

Projek bernilai RM545 juta itu adalah laluan alternatif yang menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul itu dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zamani Che Awang mengesahkan hanya sembilan mangsa yang terbabit dalam kejadian runtuhan tanah di tapak pembinaan lebuh raya itu.

Katanya, ia masing-masing tiga mangsa yang ditemui maut, tiga mangsa cedera yang kini dirawat di HPP dan tiga lagi yang dikhuatiri masih tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah itu.

“Bagaimanapun, kita tidak mempunyai angka yang tepat berhubung jumlah keseluruhan mangsa kejadian ini berikutan beberapa kesulitan, termasuklah kekurangan pengakuan daripada saksi kejadian.

“Kejadian juga berlaku ketika solat Jumaat semalam, dan kita mengandaikan sebahagian besar pekerja binaan di sini, keluar untuk ke masjid. Waris juga diminta tampil membantu siasatan, sekiranya mendapati keluarga atau rakan mereka yang bekerja di sini, masih belum dijumpai,” katanya.

Berita berkaitan

3 maut, 12 dikhuatiri tertimbus

Dah cakap, tapi tak mahu dengar...

[UPDATE] 2 maut, 10 masih hilang

'Anak saya sudah tiada'

[UPDATE] Dah jumpa mayat ketiga

Semoga mangsa tertimbus ditemui

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 10:53 AM