ANTARA peserta acara Khatam al-Quran Perdana. FOTO Hajar Umira Md Zaki
ANTARA peserta acara Khatam al-Quran Perdana. FOTO Hajar Umira Md Zaki
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Seramai 1,650 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) menyertai program 55 kali khatam al-Quran secara maya sempena Hari MARA ke-55.

Pengerusi Majlis Amanah Raya (MARA) Datuk Azizah Mohd Dun meluahkan kebanggaan kepada pelajar MRSM itu ketika ucapan penyempurnaan Majlis Khatam Al-Quran Perdana, di sini, hari ini.

"Saya berasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada 1,650 anak-anak kita dari MRSM yang telah berjaya khatam quran sebanyak 55 kali secara maya dan syabas kepada murabbi yang mendidik dan membimbing anak anak ini sehingga berjaya.

"Istimewanya program ini adalah gabungan ayat suci al-Quran oleh pelajar dari lima MRSM Ulul Albab, di mana setiap MRSM akan khatam 30 juzuk sebanyak 11 kali dan menjadikan jumlah khatam sebanyak 55 kali," katanya.

Azizah berkata, program ini membuktikan MARA bukan sahaja berjaya melahirkan modal insan sains dan teknologi bahkan huffaz yg mempunyai kepelbagaihan bahkan didikan agama yang kukuh hasil program Ulul Albab.

MRSM Ulul Albab yang terbabit adalah MRSM Kota Putra, Terengganu; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan; MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang; MRSM Sungai Besar, Selangor; dan MRSM Semporna, Sabah.

Bersempena dengan Majlis Khatam al-Quran Perdana ini, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut mewakafkan 500 naskah al-Quran kepada lima MRSM Ulul Albab berkenaan, serta 150 naskah untuk dua MRSM Ulul Albab yang bakal beroperasi seawal Jun 2021, iaitu MRSM Bagan Datuk, Perak dan MRSM Bera di Pahang.

"Insya Allah pada tahun depan semua akan terlibat dengan acara ini termasuklah dua MRSM Ulul Albab kita yang baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 1:50 PM