Mohd Syazani menghafaz ayat suci al-Quran pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57 di PWTC, semalam.
Mohd Syazani menghafaz ayat suci al-Quran pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57 di PWTC, semalam.

Kuala Lumpur: Walaupun bukan penuntut sekolah agama, ia bukan penghalang bagi pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk menjadi penghafaz dan mewakili Malaysia pada Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-57.

Muhammad Syazani Jemy, 17, pelajar MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan hari ini bersama-sama sembilan peserta lain memperdengarkan bacaan mereka dalam kategori hafazan.

Ketika ditemui pemberita, pelajar itu berkata, beliau mula berminat untuk menghafaz al-Quran pada umur 13 tahun sebelum khatam dua tahun kemudian.

“Sebagai pelajar MRSM masa yang ada memang padat dengan pelajaran akademik, tetapi saya menggunakan masa yang terluang untuk membaca dan menghafaz al-Quran, selain mengikuti kelas tambahan,” katanya yang juga fasih berbahasa Arab.

Anak sulung daripada empat beradik itu juga menasihatkan remaja seusia dengannya supaya lebih mendekatkan diri dengan al-Quran kerana dengan berbuat sedemikian Allah akan memudahkan perjalanan hidup.

Sementara itu, peserta dari Kyrgyzstan, Bumariam Madrakhimova berkata, beliau mengambil selama empat tahun untuk menghafaz al-Quran dengan bimbingan guru dan ibu bapa.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 8:41 AM