PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin, di Majlis Town Hall Wawasan 2030 Kemakmuran Bersama di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK). FOTO Nadim Bokhari
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin, di Majlis Town Hall Wawasan 2030 Kemakmuran Bersama di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK). FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan hak Sarawak akan terus dilindungi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan menilai semua tuntutan hak oleh wilayah itu secara adil dan saksama.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan setiap bantuan kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasar dengan tidak ada yang ketinggalan.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk memastikan kesejahteraan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan berusaha melakukan segala yang termampu demi kepentingan rakyat.

"Komitmen itu dizahirkan oleh kerajaan PN menerusi penubuhan portfolio khusus bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan.

"Selain itu, kerajaan juga menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) iaitu inisiatif kerajaan PN untuk memastikan hak adil dan saksama bagi rakyat Malaysia di Sarawak dapat dipelihara dan dipertahankan sewajarnya," katanya pada Sesi `Townhall' Wawasan Kemakmuran Bersama di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, menerusi MKMA63, kerajaan Persekutuan sedang meneliti beberapa perkara yang berkaitan dengan hak Sarawak.

"Beberapa kemajuan yang sudah dicapai menerusi peranan tiga jawatankuasa kerja yang mengesyorkan kepada MKMA63 berhubung cadangan penyelesaian mengenai isu-isu spesifik berkaitan perundangan bagi rakan sekutu, keselamatan negeri dan sosio ekonomi.

"Ini dilakukan selaras dengan hak-hak negeri Sabah dan Sarawak dalam kerangka perundangan negara dan kerajaan PN berharap dapat meningkatkan hubungan antara wilayah ini dengan landasan yang lebih kukuh berdasarkan saling menghormati dan memahami," katanya.

Menurutnya, usaha itu akan memastikan Malaysia berada di landasan yang tepat bagi mencapai hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dengan kerajaan mengambil pendekatan yang menyeluruh dan inklusif dalam menangani isu-isu utama seperti kos sara hidup, infrastruktur dan kemudahan asas serta jurang ekonomi di antara bandar dan luar bandar.

"Untuk itu, tumpuan akan terus diberi kepada usaha menjana semula ekonomi dan memperkukuh inklusiviti antara wilayah menerusi Rancangan Malaysia ke-12.

"Selaras dengan matlamat WKB 2030 untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia, tumpuan kerajaan ialah untuk memastikan pembangunan yang mampan dan seimbang merentasi wilayah dan dengan ini, semua lapisan masyarakat dapat menikmati pembangunan yang adil dan saksama berteraskan konsep kemakmuran bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 7:55 PM