KUALA LUMPUR. FOTO Arkib NSTP
KUALA LUMPUR. FOTO Arkib NSTP
Idris Musa dan Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Nabil Basaruddin


WAWASAN Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang berteraskan pertumbuhan dan penciptaan kekayaan, menjurus untuk membasmi kemiskinan yang melanda golongan berpendapatan rendah (B40) di negara ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, wawasan ini juga bertujuan untuk membebaskan mereka dari kesengsaraan dan penderitaan hidup.

Menurut beliau, kemiskinan juga adalah persoalan kemanusiaan yang begitu dekat dengan hati kerajaan Pakatan Harapan.

“Dalam kita memburu kecemerlangan industri, kerajaan tidak akan mengabaikan tanggungjawab untuk membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah dan miskin.

“Wawasan ini menjamin bahawa kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati oleh mereka.

“Komitmen kerajaan tidak berganjak dan kami akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat ini demi mengangkat darjat dan martabat mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian WKB2030 di Kuala Lumpur, hari ini.

WKB2030 dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohamed Azmin berkata, wawasan berkenaan ini adalah satu ikhtiar kerajaan terhadap pelaksanaan keadilan, kesaksamaan yang merentasi kaum, kelas pendapatan dan wilayah.

Menurutnya, WKB2030 juga dibentangkan tepat pada masanya semasa ekonomi global sedang bercelaru dan dilanda suasana ekonomi yang muram dan tidak menentu.

“Wawasan ini menyediakan enjin perubahan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi serta meningkat kuasa beli rakyat.

“Kerajaan yakin matlamat wawasan ini akan dicapai melalui peningkatan kepelbagaian ekonomi dengan memberi fokus kepada industri berteknologi dan berimpak tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital dan pertanian berteknologi tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 12:18 PM