Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tujuh keutamaan diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang dilaksana melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMKe-12), tercapai.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemangkin dikenal pasti dalam memacu pembangunan Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuklah membangunkan bakat tersedia masa hadapan, mempercepat penerimagunaan teknologi termaju dan inovasi, memperkukuh ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan serta mengukuhkan sektor awam supaya lebih cekap.

"Keutamaan-keutamaan kerajaan dalam RMKe-12 termasuklah, pertama menangani kemiskinan, khususnya penghapusan kemiskinan tegar dan mengurangkan ketidaksamarataan sosioekonomi dengan melaksanakan program yang lebih menyeluruh dan bersasar.

"Kedua, memberi penekanan kepada Agenda Pemerkasaan Bumiputera bagi mengurangkan jurang di antara Bumiputera dengan kaum-kaum yang lain; ketiga, mempercepatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak dan negeri-negeri lain yang kurang membangun dengan memantapkan penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas.

"Keempat,menyediakan ekosistem yang kondusif untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan mempercepat penerimagunaan teknologi termaju dan pendigitalan (kelima)," katanya pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, hari ini.

Beliau berkata, keutamaan lain adalah menggalakkan pelaburan yang berkualiti dengan memberi tumpuan kepada aktiviti berteknologi tinggi dan mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau untuk menyokong agenda pembangunan mampan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, beberapa industri berpotensi tinggi telah dikenal pasti sebagai peneraju dan sumber pertumbuhan baharu seperti industri aeroangkasa, elektrikal dan elektronik yang lebih canggih, kreatif, biojisim dan pertanian pintar.

ORANG ramai yang sedang menjamu selera di sebuah restoran menonton Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin secara langsung melalui televisyen di Taman Adda, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed.
ORANG ramai yang sedang menjamu selera di sebuah restoran menonton Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin secara langsung melalui televisyen di Taman Adda, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed.

Malah, katanya, kerajaan juga akan melaksanakan strategi untuk mempertingkat produktiviti bagi mempercepatkan peralihan kepada industri yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta berteknologi tinggi.

Menurutnya, matlamat RMKe-12 bukan sahaja untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, malah turut memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama serta tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar.

Selain RMKe-12, WWB 2030 akan turut dilaksana melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026-2030.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 2:14 PM