Syarifah Dayana Syed Bakri


PELAKSANAAN Wawasan Kemakmuran Bersama akan menjadi penanda aras baharu kepada hala tuju negara yang akan memandu pembangunan sosioekonomi sehingga 2030.

Ia akan memberi suntikan baharu supaya ekonomi negara melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi, memperkasa kuasa beli rakyat dan merapatkan jurang pendapatan serta pembangunan antara kelas, kaum dan wilayah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, wawasan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan memacu pembangunan negara secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif buat semua rakyat Malaysia.

“Malaysia berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia akibat dari perang perdagangan. Wawasan ini akan menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan.

“Ia juga akan menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat serta memantapkan kestabilan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik.

“Selain itu, jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan bakal dirapatkan dalam konteks ekonomi yang terus berkembang,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, Wawasan Kemakmuran Bersama diumpamakan seperti fajar yang terbit dalam era Malaysia Baharu demi menjamin pembelaan dan mengangkat martabat rakyat.

Perdana Menteri akan melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama pada hari esok yang mana ia akan menentukan hala tuju baharu negara bagi tempoh 10 tahun sehingga 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 8:15 PM