VAKSIN AstraZeneca. FOTO AFP
VAKSIN AstraZeneca. FOTO AFP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kumpulan pertama vaksin Covid-19, AstraZeneca yang dikilangkan di Thailand akan tiba di Malaysia pada Jun ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, bagi kumpulan pertama itu, Malaysia akan menerima 600,000 dos vaksin.

"Saya baru sahaja menerima jadual penghantaran vaksin AstraZeneca yang kontrak pembuatannya di Thailand.

"Pengesahan penghantarannya adalah pada Jun ini iaitu sebanyak 600,000 dos manakala penghantaran seterusnya adalah pada setiap bulan berikutnya," katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Kolaborasi Korporat Program Imunisasi, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada penggantungan vaksin AstraZeneca yang dihasilkan oleh Serum Institute of India (SII) akan memberi kesan kepada Malaysia, Khairy berkata, negara ini tidak menerima vaksin yang dihasilkan oleh pihak berkenaan.

"Bekalan AstraZeneca daripada fasiliti pelan peruntukan vaksin Covid-19 global, Covax yang diterima oleh Malaysia adalah dari Korea Selatan keluaran SK Bioscience bukannya dari SII.

"Jadi penggantungan oleh India tidak akan mempengaruhi Malaysia kecuali jika ia ada kaitan dengan rantaian bekalan vaksin berkenaan, maka kita akan lihat sejauh mana ia akan mempengaruhi kita," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan India menggantung sementara semua eksport vaksin Covid-19 keluaran Oxford-AstraZeneca yang dihasilkan oleh SII.

Penggantungan dibuat susulan negara itu kini berdepan dengan lonjakan kes Covid-19. Peningkatan kes itu sekali gus menjadikan permintaan domestik untuk vaksin dijangka bertambah dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 7:12 PM